Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan Harimau Malaya, Rob Friend kekal teguh bersama pasukan menjelang aksi berdepan Vietnam.
Skuad kendalian Peter Cklamovski bakal mengharungi aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac 2026.
Pertemuan terdahulu menyaksikan Malaysia merekodkan kemenangan besar 4-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Namun begitu, skuad negara kali ini bakal tampil dengan barisan berbeza sekali gus tanpa tujuh pemain yang perlu meneruskan hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 5 Mac 2026 yang lalu.
Rob Friend dalam satu kenyataan bagaimanapun menyifatkan bahawa hukuman yang dikenakan oleh CAS dilihat berlebihan.
“Kami kecewa dengan keputusan keseluruhan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), walaupun terdapat pengurangan terhadap hukuman yang dikenakan.
“Berdasarkan hujah yang telah dibentangkan, kami percaya terdapat asas yang kukuh untuk keputusan yang berbeza, dan para pemain telah menunjukkan profesionalisme serta integriti sepanjang proses ini,” katanya.
Mengulas langkah seterusnya, Friend menegaskan bahawa fokus utama ketika ini adalah untuk terus berdiri teguh bersama para pemain.
Beliau juga optimis bahawa pasukan kini memberi tumpuan kepada aksi penting menentang Vietnam pada penghujung Mac nanti.
“Tanggungjawab kami sekarang adalah untuk berdiri teguh bersama para pemain, memberi tumpuan kepada perlawanan akan datang menentang Vietnam.
“Ini bagi memastikan bola sepak Malaysia muncul lebih kuat serta lebih bersatu daripada pengalaman ini,” tambahnya lagi.