Pelantikan pengadil Slovenia, Slavko Vincic sebagai pengadil final Piala Dunia 2026 dibayangi dengan kontroversi membabitkan beliau enam tahun lalu.
beinSPORT melaporkan nama Vincic terpalit akibat insiden ditahan pihak berkuasa Bosnia-Herzegovina pada Mei 2020. Pada ketika itu, pihak berkuasa negara itu membuat serbuan yang berkait dengan siasatan jenayah terancang di Bijeljina.
Ramai orang ditahan termasuk Vincic. Polis turut merampas €10,000 (RM47,000), senjata api dan dadah dalam serbuan sama.
Pengadil Slovenia itu kemudiannya dibebaskan dan tidak didakwa atas sebarang dakwaan jenayah. Vincic juga menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang dan hanya berada di situ untuk makan tengah hari.
Beliau turut mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak Slovenia dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) susulan kontroversi berkenaan.
Sejak itu, Vincic menjadi antara pengadil elit di Eropah. Selain berpengalaman mengadil perlawanan Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2020 dan 2024 serta Piala Dunia 2022, beliau juga pernah mengadili aksi final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Liga Europa UEFA (UEL) pada 2022 dan 2024.
Argentina mengharapkan nasib berbeza apabila diadili oleh Vincic. Ini kerana dalam saingan Piala Dunia 2022, beliau bertanggungjawab mengadili kemenangan mengejut 2-1 Arab Saudi ke atas Argentina.