Penyerang KL City, Haqimi Azim mengharapkan pemain yang bakal mengganti tempat Kamal Azizi dapat memberikan aksi terbaik bagi membantu pasukan meraih kejayaan.
Kamal Azizi yang merupakan tonggak utama di posisi pertahanan kanan KL City hanya sempat beraksi beberapa minit sahaja sebelum dikeluarkan akibat kecederaan serius di bahagian lengan pemain tersebut.
Menurut pemain muda pasukan, Haqimi Azim, kehilangan Kamal atau mesra disapa Ayoh amat dirasai setelah Ayoh banyak membimbing dan membantu beliau sama ada di luar mahupun di dalam padang.
”Kehilangan Kamal Azizi beri kesukaran juga buat saya pergi ke bahagian serangan untuk beri sokongan kepada Ayoh,” katanya kepada Astro Arena.
”Saya harap pemain yang ganti tempat Ayoh akan buat sehabis baik dan ikut corak permainan saya yang Ayoh ajar (permainan) macam ini.”
Pada aksi lalu, jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac terpaksa membawa masuk J. Partiban bagi menggantikan tempat Kamal Azizi dan berlaku sedikit pertukaran posisi yang turut melibatkan seorang lagi pertahanan, Declan Lambert.
Ketika ditanya mengenai pemain yang bakal dibawa bagi menggantikan tempat Kamal, Haqimi terbuka untuk bermain dengan mana-mana pemain di bahagian kanan pasukan KL City.
Meskipun begitu, beliau lebih tertarik untuk bermain bersama Declan di bahagian kanan memandangkan pemain kacukan Malaysia-England itu lebih bersifat menyerang.
”Saya selesa dengan dua-dua (Partiban dan Declan), tapi saya lebih berminat dengan Declan sebab dia lebih kepada serangan,” ujar penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu lagi.
Skuad warga kota terpaksa berpuas hati apabila sekadar terikat seri 1-1 menentang Kuching City hasil jaringan kapten pasukan, Paulo Josue pada aksi pertama yang lalu di Cheras.
Aksi seterusnya menyaksikan KL City bakal berdepan tugas sukar menentang juara bertahan, JDT di laman sendiri pada 25 Mei hadapan.