Penjaga Gol Curacao Pernah Dirisik Kelab Liga Super
MakanBola
Curacao National Football Team

Tahun lalu, sebuah kelab Liga Super Malaysia ada menyatakan minat bagi merekrut khidmat penjaga gol Curacao, Eloy Room yang ketika ini sedang menikmati aksi cemerlang di pentas Piala Dunia FIFA 2026.

Nama Eloy Room ketika ini menjadi topik hangat penyokong bola sepak di serata dunia selepas penjaga gawang berusia 37 tahun itu tampil cemerlang ketika Curacao mencipta sejarah dengan memperoleh mata pertama di Piala Dunia.

Keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Ecuador menjadi detik manis bukan sahaja buat Curacao yang melakar sejarah, tetapi untuk penjaga gol, Eloy Room yang melakukan 15 aksi penyelamatan di sepanjang tempoh 90 minit permainan.

Tanpa dijangka, sebenarnya kelibat Eloy Room pernah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Super, DPMM ketika musim 2025-2026 baru bermula untuk menambah kekuatan wakil Brunei itu dalam baki saingan liga.

Menerusi satu kenyataan bertarikh 23 Oktober 2025, DPMM meletakkan nama Eloy Room selaku salah satu pemain sasaran mereka untuk dibawa masuk ketika mana penjaga gol itu masih bergelar ejen bebas pada waktu tersebut.

“DPMM FC menyasarkan khidmat bekas penjaga gol PSV dan pasukan kebangsaan Curaçao, Eloy Room, serta bekas pemain tengah Tottenham Hotspur, Josh Onomah,” umum pihak kelab pada Oktober tahun lalu.

Eloy Room dilepaskan oleh kelab Belgium, Cercle Brugge pada 1 Julai 2025 sebelum namanya disebut menjadi pemain sasaran DPMM sekitar Oktober dan pada 21 Januari 2026, tonggak Curacao itu memilih untuk menyertai Miami FC di USA.

Sekiranya perpindahan Eloy Room ke DPMM FC berlaku dahulu, Liga Super Malaysia mungkin mempunyai dua pemain yang beraksi di Piala Dunia 2026 bersama Curaçao, selain Gervane Kastaneer yang kini bersama Terengganu.

Selain itu, bekas pemain Selangor, Mo Abualnadi, Yazan Al-Arab, dan Ali Olwan juga antara pemain Piala Dunia yang pernah bermain di Liga Super selain Mahmoud Al Mardi yang mewakili Kedah Darul Aman pada musim 2022.