Terengganu ‘Wakil Tunggal’ Di Piala Dunia FIFA
MakanBola
FFK

Penyerang Terengganu FC, Gervane Kastaneer dilihat menjadi satu-satunya pemain Liga Malaysia (Liga M) beraksi di Piala Dunia 2026.

Pengamatan ini dibuat berdasarkan status kontrak yang dimiliki penyerang Curacao itu. Ini kerana Kastaneer masih lagi memiliki baki kontrak bersama Peteh sehingga penghujung tahun ini.

Ini selepas bekas penyerang Persis Solo itu tiba di Terengganu dalam tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) pada Januari lalu. Perkara ini turut disahkan pengurusan Peteh kepada media pada Mei lalu.

Selain Kastaneer, Terengganu juga mengesahkan duo Tajikistan, Ekhson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev kekal bersama pasukan itu pada musim hadapan.

Ini sama sekali berbeza dengan dua pemain Jordan, Mohammad Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh. Meskipun kedua-duanya pernah bersama Selangor FC pada musim lalu, mereka menghadapi Piala Dunia sebagai ejen bebas.

Ini selepas kedua-dua pemain telah mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan gergasi Lembah Klang itu tidak lama selepas musim 2025/26 berakhir. Malah, Abualnadi juga telah mendapat kelab baru dengan menyertai kelab Romania, FC Corvinul Hunedoara.

Justeru, Kastaneer selayaknya digelar satu-satunya wakil tunggal Liga M yang beraksi di pentas Piala Dunia 2026.

Penyerang berusia 30 tahun itu membuat penampilan pertama apabila masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Jerman baru-baru ini.