Impian bagu menyaksikan penyerang Terengganu, Gervane Kastaneer turun beraksi di pentas Piala Dunia akhirnya tercapai.
Gervane Kastaneer antara 26 pemain yang dipanggil memperkuat Curacao di pentas Piala Dunia FIFA 2026 setelah negara kecil di Laut Caribbean itu bakal membuat kemunculan sulung di kejohanan tertinggi bola sepak dunia.
Walau bagaimanapun, Curacao berdepan tugasan mencabar bagi mencipta kejutan di Piala Dunia kali ini selepas diundi bersama negara-negara hebat antaranya adalah juara dunia 4 kali, Jerman, Ivory Coast dan juga Ecuador.
Perlawanan pertama kumpulan E menyaksikan Curacao turun berdepan Jerman dengan misi untuk memberi tentangan sengit ke atas juara edisi 2014 itu meskipun jurang kualiti antara kedua-dua negara dilihat cukup jauh.
Tumpuan di pasukan Curacao pastinya terarah kepada kelibat penyerang Terengganu, Gervane Kastaneer yang menjadi salah seorang dari pemain Liga Malaysia yang terpilih mewakili negara masing-masing di pentas Piala Dunia.
Nama Gervane Kastaneer berada di bangku simpanan pada permulaan aksi berdepab Jerman ini dengan jurulatih Curacao, Dick Advocaat meletakkan nama Jurgen Locadia dan Sontje Hansen dalam kesebelasan utama terlebih dahulu.
Kelibat Gervane Kastaneer akhirnya dibawa masuk jua oleh Dick Advocaat bagi menggantikan tempat bekas pemain Manchester United, Tahith Chong ketika permainan berbaki 7 minit dengan Curacao masih lagi ketinggalan 6-1.
Kemasukan pemain Terengganu itu bagaimanapun tidak mampu memberi kesan yang maksimum kerana kesuntukan masa ketika mana Jerman lebih garang apabila menambah gol ke-7 pada minit ke-86 menerusi jaringan Kai Havertz.
Pertarungan 90 minit di Stadium NRG, Houston berakhir dengan keputusan 7-1 memihak Jerman ketika Curacao masih melakar sejarah hebat mencetak gol pertama di pentas Piala Dunia.
Saingan kumpulan E akan diteruskan lagi dengan aksi melibatkan Jerman vs Ivory Coast pada 21 Jun hadapan manakala Ecuador bakal bertemu Curacao di hari yang sama.