Penjaga gol Kuching City FC, Haziq Nadzli bernasib baik tidak dilayangkan kad merah dalam aksi Liga Super menentang Selangor FC baru-baru ini.
Ini kerana menurut bekas pengadil negara, Subkhiddin Salleh, bekas penjaga gol Perak FC itu patut dibuang padang kerana melakukan terjahan ke atas pemain Selangor, Vitor Pernambuco.
Insiden itu berlaku pada minit akhir perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ baru-baru ini. Selepas berjaya menyekat pergerakan Chrigor Moraes, Haziq kemudiannya membuat terjahan ke atas Pernambuco.
Insiden tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat bola sepak negara termasuk penyokong Selangor.
Susulan itu, Subkhiddin berpandangan Haziq sepatutnya dibuang padang oleh pengadil ketika itu, Nazmi Nasaruddin.
“Penjaga gol seharusnya dilayangkan kad merah dan permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma terus,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Selangor. Kemenangan itu memastikan rekod tanpa kalah Pan-gon bersama Selangor terus kekal bertahan.