Penjelasan FIB Tentang Status Lesen Kelantan DN
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

First Instance Body (FIB) tampil menjelaskan status isu membabitkan pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

Selepas Kelantan DN menerima Lesen Kebangsaan penuh baru-baru ini, timbul isu bahawa pasukan Pantai Timur itu masih dibelenggu masalah tunggakan gaji.

Isu itu dilaporkan membabitkan pasukan Kelantan DN B-23 yang beraksi dalam saingan Piala MFL 2024/25.

Ini menimbulkan persoalan mengapa Sang Kijang Emas menerima Lesen Kebangsaan penuh daripada FIB untuk musim 2025/26.

Susulan itu, FIB memaklumkan Kelantan DN telah menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan pasukan utama setakat 31 Disember 2024.

Pada masa sama, pengurusan Sang Kijang Emas turut menghantar dokumen sokongan iaitu pelan pembayaran ansuran gaji pasukan B-23 menerusi surat persetujuan semua pemain yang terlibat.

Kelantan DN juga mengemukakan surat permohonan pelan bayaran ansuran kepada pihak KWSP dan PERKESO dengan cop rasmi kedua-dua agensi tersebut.

Sebagai langkah susulan, MFL telah mengarahkan Unit Pelesenan Kelab MFL memantau pematuhan pelan ansuran yang dikemukakan Kelantan DN. Ini bagi memastikan semua tunggakan yang dinyatakan telah diselesaikan.

FIB turut memaklumkan sekiranya ada isu yang timbul termasuk deklarasi maklumat yang tidak tepat kepada Unit Pelesenan Kelab MFL, siasatan boleh dijalankan berhubung perkara berkenaan.