Pasukan UiTM FC sebelum ini dikhabarkan akan menarik diri dalam saingan Liga Malaysia musim 2022 ini. Hal ini kerana terdapat pemotongan dana sehingga 50 peratus yang menyebabkan barisan pemain serta kejurulatihan ‘angkat kaki’.
Menurut satu kenyataan daripada pemerhati bola sepak Malaysia, Dr Pekan Ibrahim berpendapat agar kembali ke matlamat asal dengan menggunakan khidmat penuntut di universiti bagi membarisi pasukan UiTM.
“Apa yang boleh saya katakan adalah agak memalukan jika UiTM tarik diri dengan hanya beraksi di Liga M3 atau Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekali gus usaha dan pengorbanan selama ini adalah sia-sia.
Tambah Pekan, beliau akui kekurangan dana akan menyebabkan sebuah pasukan itu gagal membentuk skuad yang terbaik.
Pekan dalam pada itu menasihatkan kepada pengurusan UiTM untuk bertindak dengan lebih pintar dengan menggunakan segala kelebihan yang dimiliki untuk memperoleh dana tambahan.
“Saya memang ada mendengar bahawa peruntukan kepada pasukan terbabit untuk musim 2022 tidak sampai separuh sekali gus agak sukar untuk membentuk skuad yang mantap.
“Namun, pengurusan UiTM perlu lebih bijak mencari dana tambahan terutama membina jalinan atau perjanjian bersama Alumni untuk memperoleh dana,” kata Pekan kepada Arena Metro.
Pasukan UiTM ini baru sahaja mengumumkan sesi pemilihan pemain bagi saingan Liga Premier 2022 yang dijadualkan pada 11 Januari sehingga 14 Januari di Padang Rumput DATC, UiTM Shah Alam.