Penyerang Baharu Terengganu Sudah Hampir Tiba
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu semakin hampir untuk mendapatkan seorang penyerang baharu pada jendela perpindahan kali ini.

Prestasi pasukan Terengganu dilihat berada pada tahap yang kurang memuaskan apabila sekadar mencatatkan hanya satu kemenangan sahaja dalam 6 perlawanan terakhir dalam aksi Liga Super.

Pemergian dua tonggak serangan, Nurillo Tukhtasinov dan Gabriel Silva baru-baru ini memberi tamparan hebat untuk pasukan selepas hanya berjaya menjaringkan 6 gol dalam 6 aksi lalu.

Walau bagaimanapun, pihak pengurusan dilihat pantas untuk mencari pengganti dengan penyerang muda negara, Haqimi Azim Rosli dilaporkan bakal menambah bis serangan Sang Penyu.

Khabar angin ini turut dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dengan bayangan yang diberikan oleh Haqimi Azim sedang berada di lapangan terbang untuk ke Terengganu.

”Haqimi Azim Rosli beri bayangan tinggalkan KL City dengan Terengganu jadi destinasi terbaru buat penyerang skuad B-23 negara ini,” lapor Zulhelmi Zainal Azam.

Sebagai rekod, Haqimi Azim sudah menjaringkan 10 gol dan melakukan 4 bantuan jaringan dalam 73 penampilan buat KL City selain baru sahaja membantu Malaysia meraih pingat di Sukan SEA.