Lagenda bola sepak negara, Razman Roslan mencadangkan satu solusi untuk menyelesaikan masalah prestasi Terengganu FC.
Pasukan dari Pantai Timur ini dihantui krisis prestasi selepas tewas tiga daripada enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.
Skuad Peteh baru-baru ini telah mengumumkan perpisahan dengan ketua jurulatih, Badrul Afzan susulan prestasi hambar kelab.
Razman menerusi perkongsian kepada Astro Arena yakin Terengganu merupakan sebuah pasukan berkaliber yang memerlukan seorang jurulatih yang berkualiti.
“TFC mungkin memiliki perancangan tersendiri. Apa yang berlaku kepada Badrul Afzan, itulah yang berlaku pada musim lepas.
“Beliau selaku pembantu jurulatih naik sebagai ketua jurulatih dan apabila memasuki musim baharu, beliau menjadi tidak konsisten.
“Penyokong mahu melihat Terengganu ini berada pada satu tahap yang yang lebih baik kerana Terengganu merupakan sebuah pasukan yang besar,” ujarnya kepada Astro Arena.
Beliau melihat kelab Pantai Timur ini memerlukan seorang pengendali yang lebih berkarisma untuk memacu pasukan.
“Terengganu memerlukan seorang jurulatih yang berkaliber yang boleh membawa pasukan ke tahap yang lebih baik,” tambahnya.
Sebagai rekod, Terengganu telah merekodkan lima kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan dalam saingan Liga Super musim ini selain tersingkir pada peringkat suku akhir Piala FA di tangan Kuching City.