Bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, Razman Roslan percaya Terengganu memerlukan seorang jurulatih berkaliber untuk membawa pasukan itu ke tahap yang lebih tinggi.
Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas tentang spekulasi siapa jurulatih baharu pasukan Pantai Timur itu.
Selepas merehatkan Badrul Afzan Razali, beberapa nama dikaitkan dengan Terengganu. Antara jurulatih yang dicanang ialah Nafuzi Zain dan Tan Cheng Hoe.
Razman tidak menidakkan kualiti yang dimiliki jurulatih interim Peteh, Tengku Hazman Raja Hassan. Pada masa sama, beliau melihat jurulatih berkualiti dilihat perlu agar setanding dengan reputasi pasukan itu.
“Sebab apa yang berlaku kepada Coach Badrul sebenarnya itulah yang berlaku musim lepas. Dia sebagai pembantu jurulatih dan diberi tugasan penuh untuk mengemudi pasukan TFC,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
“Tetapi apabila berada di musim yang baru, (prestasi Terengganu) agak tidak konsisten menyebabkan mungkin penyokong tidak selesa dengan keadaan itu.
“Jadi kalau kita lihat di luar sana, memang penyokong mahukan betul-betul jurulatih yang mampu layak bawa pasukan Terengganu ini ke satu tahap yang lebih baik sebab reputasi pasukan Terengganu besar.”
Keperluan mencari jurulatih baharu buat Terengganu semakin penting apabila pasukan itu tumbang 2-0 di tangan Penang FC pada 3 Januari lalu.
Tchetche Kipre menjadi mimpi ngeri buat Peteh apabila meledakkan dua gol buat Sang Harimau Kumbang.