Penjaring terbanyak Imigresen FC II dalam saingan Liga A1 Semi-Pro, Said Khamis mendapat panggilan skuad kebangsaan Tanzania.
Ini berdasarkan senarai pemain yang dipanggil jurulatih Argentina, Miguel Angel Gamondi untuk kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Jun ini. Berita ini turut diumumkan pengurusan Imigresen baru-baru ini.
“Tahniah kepada Said Khamis atas panggilan mewakili skuad kebangsaan Tanzania. Seluruh keluarga IFC MALAYSIA mendoakan yang terbaik buat anda. Selamat berjaya, Said!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Said menerima panggilan pasukan Afrika Timur itu susulan prestasi cemerlang beliau dalam Liga A1. Musim 2025/26 menyaksikan beliau merekodkan 22 gol.
Said berada di belakang penjaring terbanyak Liga A1, Emmanuel Mbarga dan penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud. Penyerang Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) itu merekodkan 32 gol dengan Rahman (24 gol).
Said antara sembilan pemain yang berpangkalan di luar negara yang mendapat panggilan kem kali ini. Selain beliau, Gamondi turut memanggil Haji Mnoga (Salford City), Novatus Dismas (Goztepe), Mohammed Sagaf (Eastbourne) dan Charles M’Mombwa (Floriana FC).
Turut tersenarai ialah Alphonse Mabula (Shamakhi), Tarryn Allarakhia (Rochdale), Simon Msuva (Al-Talaba) dan Cyprian Kachwele (HFX Wanderers).