Tindakan peminat bola sepak mengutip sampah selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ semalam mendapat pujian ramai.
Dua aksi awal Liga Super Selangor di Stadium MBPJ menyaksikan kehadiran penuh penyokong. Aksi pertama menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 18 Mei lalu menyaksikan 10,077 penyokong hadir.
Manakala 10,365 orang lagi pulang ceria selepas menyaksikan Merah Kuning membelasah Negeri Sembilan FC 4-0 semalam.
Sambutan hangat penyokong Selangor bukan saja diterjemahkan dalam bentuk kehadiran ke stadium sahaja. Malah, ini turut diterjemah dari segi aspek menjaga kebersihan.
Akaun X, Footy Selangor memaklumkan perkara ini direalisasikan menerusi tindakan sekumpulan penyokong membawa beg sampah bagi membantu kutipan sampah dilakukan.
Disebabkan tindakan mereka, persekitaran stadium terutama di kawasan tempat duduk kelihatan lebih bersih dan kemas.
“Di sektor terbuka, kebersihan selepas perlawanan boleh diberikan pujian. Terima kasih kepada sekumpulan penyokong yang beri plastik sampah.
“Pelan-pelan kita pupuk datang stadium dan menjaga kebersihan stadium. Tiga mata!,” katanya dalam satu hantaran di X.
Sebaik hantaran itu dimuat naik, seorang lagi pengguna X bernama Ben Firmino memuji teladan baik yang dipamerkan penyokong Selangor. “Penyokong Selangor di luar sana, anda memang terbaik,” katanya.
Sokongan padu penyokong memastikan Selangor membuat permulaan baik dalam liga. Selain menewaskan Negeri Sembilan, Merah Kuning turut menewaskan Kedah 1-0 pada 18 Mei lalu.
Keputusan ini menyaksikan Selangor mengutip enam mata selepas tiga perlawanan. Ini meletakkan anak buah Nidzam Jamil itu di tangga keempat, tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).