Penyokong Harimau Malaya Harap Jon Irazabal Kekal Di Eropah
MakanBola
Malaysia NT

Pertahanan baharu Harimau Malaya, Jon Irazabal baru-baru ini disahkan meninggalkan Sabah FK kelab yang beraksi dalam saingan Liga Premier Azerbaijan. Namun, rata-rata penyokong Harimau Malaya menyatakan harapan mereka yang cukup jelas mereka mahu Irazabal terus kekal beraksi di Eropah.

Menerusi ruangan komen di laman sosial MakanBola, ramai peminat menyuarakan keyakinan bahawa pengalaman di Eropah mampu melonjakkan tahap permainan Irazabal dan memberikan impak lebih besar sekiranya beliau dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.

“Patutnya dia stay main di liga eropah. Jangan balik sini. Main di eropah baru performance meningkat. Kalau balik sini siapa saja penyerang yang dia kena hadap? Memang tiada cabaran pun. Lama-lama boleh jadi lemau sebab selalu main hadap striker biasa saja,” luah Aniq Azlan di ruangan komen MakanBola.

Rata-rata penyokong menganggap jika Irazabal memilih beraksi di Liga Malaysia, prestasi pemain pertahanan berusia 28 tahun itu akan mengalami penurunan.

“Tolonglah kekal beraksi di eropah. Kalau main Liga Malaysia takut prestasi menurun,” rayu seorang lagi penyokong.

Umum mengetahui, Irazabal masih berada pada tahap terbaik untuk mengembangkan kariernya di pentas Eropah. Sepanjang bersama Sabah di Azerbaijan, beliau mendapat minit permainan konsisten dan memperagakan disiplin pertahanan yang kemas.

Harapan penyokong jelas iaitu Irazabal telah dianggap bukan sekadar pemain warisan biasa. Mereka melihat beliau sebagai salah satu watak penting dalam misi Malaysia menembusi pentas lebih besar seperti Piala Asia dan kelayakan Piala Dunia. Dan untuk itu, pentas Eropah dilihat sebagai tempat paling sesuai untuk beliau terus berkembang.