Sebuah akaun media sosial penyokong Liverpool dikesan menyebarkan maklumat palsu sejurus selepas pasukan itu tewas kepada Manchester United.
Akaun X Anfield Papers dikesan menaikkan kenyataan kononnya datang dari Badan Pegawai Perlawanan Profesional (PGMOL) berhubung insiden gol kedua United yang dijaringkan Benjamin Sesko.
Kenyataan itu mendakwa gol penyerang Slovenia itu tidak sepatutnya dikira kerana bola dikatakan terkena jari Sesko sebelum menerjah jaring Liverpool.
Susulan itu, PGMOL kononnya akan membuat semakan berhubung insiden itu dan berkomunikasi dengan kelab yang terjejas.
Walau bagaimanapun, Anfield Papers kemudiannya dibidas ramai peminat bola sepak kerana menyiarkan kenyataan palsu di platform mereka.
Hal ini mendorong ramai penyokong meninggalkan nota komuniti pada kenyataan palsu PGMOL itu di platform X.
Ini bertujuan memaklumkan kepada penyokong bahawa akaun Anfield Papers ialah akaun parodi dan kenyataan PGMOL yang disiarkan itu tidak benar sama sekali.
United ceria meraih tiga mata penuh dengan menewaskan Liverpool 3-2. Matheus Cunha, Sesko dan Kobbie Mainoo mencetak nama sebagai penjaring.
Liverpool pula membalas menerusi Dominik Szoboszlai dan Cody Gakpo. Keputusan itu juga sudah cukup untuk membawa United kembali ke saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).