Penyokong Thailand berharap hujan akan turun membasahi padang Stadium Rajamangala bagi memudahkan kemenangan buat Thailand yang bakal menentang gergasi Asia, Korea Selatan malam ini (26 Mac).
Dalam satu hantaran di laman X wartawan sukan Thailand, Ta Lao, terdapat 30 peratus yang memungkinkan hujan bakal turun dalam aksi di Stadium Rajamangala.
Ta Lao juga berkongsi video yang mana memperlihatkan Son Heung-min berdepan kesukaran mengawal bola ketika permukaan padang seperti sedikit becak di Stadium Rajamangala.
“Terdapat 30 peratus kemungkinan hujan di Bangkok esok semasa Kelayakan Asia mengikut ramalan cuaca. Inilah yang berlaku apabila Son Heung-min melawat Rajamangala musim panas lalu bersama Spurs.
“Kebanyakan pemain Liga Thai sudah biasa bermain dalam keadaan yang mengerikan semasa musim tengkujuh di sini, jadi ia boleh memberi mereka kelebihan dan memecahkan tempo permainan hantaran tepat Korea pada pendapat saya,” kongsi Ta Lao di laman X.
Pendapat Ta Lao itu diterima penyokong Thailand yang beranggapan apabila hujan, padang bakal menjadi becak sekali gus menyukarkan hantaran-hantaran tepat yang seringkali dilakukan pemain Korea Selatan.
Pada aksi lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan. Perlawanan yang dikuasai Korea Selatan sejak wisel permulaan menyaksikan 71 peratus penguasaan menjadi milik Korea Selatan.
Jadi tidak mustahil, penyokong Thailand mengharapkan hujan turun bagi mengurangkan penguasaan buat Korea Selatan yang sememangnya selesa dengan bola dalam setiap perlawanan.