Era gemilang Pep Guardiola bersama Man City bakal tamat pada akhir musim 2025/26.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano melaporkan bekas jurulatih Barcelona itu sudah memaklumkan kepada pengurusan kelab itu bahawa beliau akan meninggalkan kelab selepas musim ini.
Keputusan itu telah disahkan dan kelab dijangka mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung pemergian Guardiola.
Berita ini sekaligus menamatkan desas-desus tentang status Guardiola bersama City yang timbul sejak dari awal musim ini.
Meskipun masih memiliki baki kontrak setahun di Stadium Etihad, beliau merasakan ini masa terbaik untuk meninggalkan kelab selepas menyumbang bakti selama 10 tahun.
Pengurusan City sudah memiliki perancangan seandainya Guardiola memilih meninggalkan kelab pada akhir musim ini. Bekas jurulatih Chelsea, Enzo Maresca dilihat satu-satunya calon pengganti beliau.
Guardiola masih berpeluang menamatkan kempen musim ini dengan tiga trofi. Ini kerana mereka masih memburu trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan hanya ketinggalan lima mata di belakang Arsenal dengan baki dua perlawanan.
City sudah merangkul dua trofi musim ini iaitu Carabao Cup dan The Emirates FA Cup. Dua trofi ini menjadi sebahagian daripada 20 trofi yang dimenangi Guardiola bersama City dalam tempoh 10 tahun.
Beliau mengikut jejak dua tonggak City yang akan meninggalkan kelab pada akhir musim. Bernardo Silva dan John Stones sudah mengesahkan bahawa mereka akan meninggalkan kelab apabila kontrak mereka tamat musim ini.