Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola membidas sebilangan penyokong Leeds United ketika perlawanan menentang pasukan itu di Elland Road.
Ini kerana segelintir penyokong The Whites dikesan menghina pemain-pemain City yang beragama Islam kerana berbuka puasa semasa perlawanan.
Tiga pemain City yang beragama Islam ialah Rayan Ait-Nouri, Rayan Cherki and Omar Marmoush.
Bekas jurulatih Barcelona itu menyifatkan tindakan segelintir penyokong terbabit sebagai biadab dan tidak menghormati para pemain yang menunaikan rukun Islam ketiga itu.
“Inilah dunia moden, kan? Anda tahu apa yang berlaku di dunia hari ini, kan? Hormatlah agama, hormatlah kepelbagaian budaya.
“Itulah maksudnya. Itulah peraturan, bukan kita yang katakan. Pihak Liga Perdana Inggeris (EPL) kata bagi yang berpuasa, anda boleh ambil seminit atau dua minit untuk melakukannya (berbuka puasa), untuk para pemain melakukannya.
“Jadi, sudah tentu kita hormati. Malang sungguh,” katanya selepas perlawanan seperti dilaporkan Sky Sports.
Perangai sesetengah penyokong Leeds turut mengecewakan pembantu jurulatih pasukan itu, Edmund Riemer.
“Saya fokus kepada perlawanan. Kecewa dengan tindakan sesetengah penyokong dan kita akan belajar dari situ,” ujarnya.
Sempena kedatangan bulan Ramadan, EPL meneruskan tradisi rehat berbuka puasa bagi membantu pemain-pemain yang beragama Islam.
Perlawanan tersebut menyaksikan City meraih kemenangan 1-0. Kemenangan itu membolehkan City terus menghambat pendahulu EPL, Arsenal.