Advertisements
Perak Kembali Berbelanja, Sambar Clayton Dari Brazil
Transfer
MakanBola
Perak FC

Perak FC menceriakan penyokong setia mereka dengan mendapatkan penyerang import Brazil, Clayton da Silveira da Silva atau Clayton.

Perpindahan beliau diumumkan pengurusan The Bos Gaurus di platform media sosial rasmi Perak hari ini.

“Perak FC hari ini mengumumkan ketibaan pemain berasal dari Brazil, Clayton da Silveira da Silva.

“Clayton yang bermain selaku penyerang akan memperkuatkan jentera serangan Perak FC pada musim 2024/25. Selamat datang ke keluarga Perak FC, Yob Clayton!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kehadiran pemain berusia 28 tahun itu melengkapkan senarai lapan tenaga import yang membawa cabaran The Bos Gaurus untuk musim 2024/25.

Perak mengekalkan khidmat empat tonggak import musim 2023 iaitu Jesper Nyholm, Luka Milunovic, Sunday Afolabi dan kapten, Luciano Guaycochea.

Selain itu, The Bos Gaurus turut membawa masuk Luiz Henrique Motta, Adilet Kanyebekov dan Lee Tae-min untuk mengisi tiga slot pemain import pasukan itu.

Sebelum ini, pasukan utara tanah air itu dikaitkan dengan penyerang Colombia yang beraksi di Liga Super India (ISL), Jordan Wilmar.

Walau bagaimanapun, usaha membawa Wilmar ke Stadium Perak tidak dapat direalisasikan. Ini mendorong pengurusan The Bos Gaurus mencari sasaran alternatif.

Clayton membina kariernya sebagai peledak di negara kelahirannya, Brazil sebelum menerima tawaran kelab Ukraine, Dynamo Kyiv pada 2020.

Seperti rakan senegaranya, Motta, ini merupakan perpindahan pertama Clayton di benua Asia dalam karier bola sepaknya.

Beliau dijangka menjadi peledak utama Perak dengan sokongan Alif Zikri, Hadi Fayyadh dan bekas penyerang Kelantan FC, Harith Akif.