Penyokong Perak FC bakal menerima suntikan semangat menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25.
Ini selepas pengurusan The Bos Gaurus dilaporkan sudah memperbaharui kontrak kapten pasukan dari Argentina, Luciano Guaycochea sehingga tamat musim 2024/25.
Khabar ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi. Untuk rekod, kontrak asal bekas pemain tengah Alianza FC itu bakal berakhir pada November ini.
“Dikhabarkan pengurusan Perak FC bersetuju untuk melanjutkan kontrak kapten, Luciano Guaycochea hingga berakhirnya saingan Liga Malaysia 2024/2025. Untuk rekod, kontrak asal Lucho bakal berakhir November ini,” katanya di X.
Buat masa ini, pengurusan Perak belum membuat pengumuman rasmi tentang lanjutan kontrak pemain berusia 32 tahun itu.
Sejak menyertai The Bos Gaurus pada 2022, Guaycochea sudah merekodkan 37 penampilan, 15 gol dan tujuh bantuan gol.
Seandainya perkara ini menjadi kenyataan, fokus pengurusan Perak seterusnya ialah memperbaharui kontrak tonggak import di bahagian pertahanan, Jesper Nyholm. Semakan di laman Transfermarkt mendapati kontrak bek tengah Filipina itu dijangka berakhir pada Disember ini.
Nyholm yang menyertai Perak sebagai ejen bebas pada Jun 2023 sudah merekodkan 26 penampilan dalam semua kejohanan termasuk Liga Super.
Sebelum ini, The Bos Gaurus mengambil langkah melanjutkan kontrak bintang skuad Malaysia Bawah 20 Tahun (B-20), M. Moses Raj.
Berita ini dijangka merangsang semangat anak buah Yusri Che Lah menjelang aksi menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium MBPJ pada 22 November. Ini disusuli aksi timbal balik di Manjung pada 30 November.