Advertisements
Perak Lanjutkan Kontrak Moses Raj
Liga Super
MakanBola
Perak FC

Berita gembira buat penyokong Perak apabila pasukan itu mengumumkan lanjutan kontrak buat bintang muda mereka, Moses Raj a/l Michel Dass.

Berita tersebut diumumkan pengurusan The Bos Gaurus menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka.

Bek tengah berusia 19 tahun itu merupakan tonggak utama skuad Perak III dalam saingan Piala Presiden 2024.

Kecemerlangan Moses turut menyebabkan beliau dipanggil menyertai skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) oleh jurulatih, Juan Torres Garrido untuk Kejuaraan ASEAN B-19 2024 dan pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025.

“Hari ini Moses Raj a/l Michel Dass telah menandatangani lanjutan kontrak bersama Perak FC untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Pemain yang dikesan bakatnya melalui Piala Cheetah tahun 2023 itu mewakili pasukan Perak FC III dalam saingan Piala Presiden 2024 dan turut terpilih mewakili pasukan B-19 kebangsaan pada musim ini.

“Alumni SMK Anderson, Ipoh ini telah memperagakan aksi yang memukau pada musim ini bersama pasukan Perak FC III sehingga dipanggil oleh Juan Torres Garrido, ketua jurulatih pasukan B-19 untuk mewakili skuad kebangsaan,” kata pengurusan Perak dalam satu kenyataan.

Sebaik berita ini diumumkan, ramai penyokong Perak menyambut baik tindakan pantas pengurusan pasukan itu mengikat khidmat Moses. Ini kerana bek tengah muda itu berpotensi menjadi aset skuad utama Perak.

Antara yang berpandangan sedemikian ialah seorang pengguna Instagram bernama ___mwy0000. Dia menyifatkan Moses bukan saja tenang semasa bertahan tetapi juga mampu menyumbang gol dalam situasi sepakan percuma.

“Seorang pemain muda yang berbakat, selalu tengok beliau beraksi di Piala Presiden, keupayaan udara yang baik selalu menyumbang dalam bola mati tandukan menyerang, dan juga tenang di bawah tekanan sebagai bek tengah,” katanya di ruang komen The Bos Gaurus.

Sementara seorang pengguna Facebook bernama Zakuan Azizi menyifatkan langkah Perak mengikat khidmat Moses sebagai satu tindakan bijak.

Ini kerana pemain pertahanan berusia 19 tahun itu berpotensi menjadi bintang masa depan Perak dan Malaysia. “Bintang dalam pembikinan,” katanya ringkas di ruang komen.

Perak berharap lebih ramai lagi bakat baru seperti Moses dapat diketengahkan agar dapat mewakili pasukan itu dalam Liga Malaysia (Liga M) pada masa hadapan.