Advertisement
Perak Tempang Tanpa Khidmat Luciano Guaycochea
Liga Super
MakanBola
Perak FC

Perak FC menerima tamparan hebat kerana perlu melupakan khidmat kapten mereka, Luciano Guaycochea.

Perkara ini disahkan sendiri oleh jurulatih The Bos Gaurus, Yusri Che Lah selepas aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

Yusri memaklumkan pemain tengah berusia 32 tahun itu perlu berehat antara empat hingga enam minggu selepas mengalami kecederaan buku lali kiri.

“Kecederaan Lucho (Luciano Guaycochea) lebih merisaukan. (Tempoh pemulihan) mungkin mengambil masa empat hingga enam minggu,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan yang disiarkan di TBG TV.

Situasi ini mendorong Yusri memilih Firdaus Saiyadi untuk menggalas peranan sebagai kapten. Firdaus mengetuai cabaran Perak dalam aksi pertama menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) baru-baru ini.

Perak membawa bekalan tiga gol untuk aksi kedua pusingan 16 terbaik di Manjung pada 30 November ini. Gol Clayton, Nur Azfar Fikri Azhar dan Daniel Hakimi Ahmad Zamil memberi kelebihan kepada pasukan utara tanah air itu.

Meskipun terpaksa berehat akibat kecederaan, Guaycochea tetap menyatakan sokongan padu kepada The Bos Gaurus.

Ini selepas kelibatnya dilihat bersama penyokong di Stadium MBPJ dalam aksi menentang Sang Kijang Emas pada 22 November lalu.

Yusri menghela sedikit nafas lega kerana dua lagi tonggak import Perak, Luka Milunovic dan Luiz Fernando Motta bakal kembali menyertai pasukan. Sebelum ini, kedua-dua pemain itu terpaksa disisihkan akibat masalah kecederaan.