Biarpun aksi Liga Super 2024/2025 hanya akan dimulakan pada awal Mei 2024, pasukan Perak FC sudah pun menetapkan sasaran realistik.
Dalam satu sesi soal jawab bersama peminat semalam, CEO Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin telah ditanyakan mengenai sasaran bagi saingan Liga Super musim baru ini.
Bobie telah menjawab soalan tersebut dengan mendedahkan sasaran Perak untuk saingan liga musim baru ini adalah dengan mengutip sekurang-kurangnya 40 mata sepanjang musim.
“40 mata kita cuba,” jawab Bobie ringkas melalui akaun Facebook TBG Super Fan.

Jika dinilai dari saingan musim ini, mana-mana pasukan yang berjaya mengutip 40 mata dalam liga berkemungkinan akan menduduki tangga ke-6 yang mana ianya menjadi milik Terengganu FC bagi musim 2023.
Perak kini merupakan pasukan yang aktif dalam membawa masuk pemain baharu dengan sehingga kini, dua pemain baharu telah dibawa masuk iaitu bekas pertahanan kiri Negeri Sembilan, Tommy Mawat dan bintang muda Terengganu, Azfar Arif.
Dijangkakan akan ada tambahan beberapa pemain lagi untuk mengisi tiga posisi kritikal Perak iaitu di bahagian penjaga gol, pertahanan dan juga penyerang.