Jurulatih Perancis, Didier Deschamps memaklumkan kecederaan yang dialami kapten mereka, Kylian Mbappe tidak serius.
Jaminan itu dibuat beliau selepas aksi suku akhir Piala Dunia antara Perancis dan Maghribi pada Jumaat. Status Mbappe mula meresahkan penyokong apabila penyerang Real Madrid itu dikeluarkan pada minit ke-77.
Selepas duduk di bangku simpanan, Mbappe meletakkan pek ais pada buku lalinya. Selepas tamat perlawanan, beliau kemudiannya melompat sebagai meraikan kejayaan Perancis menewaskan Maghribi.
Deschamps melihat itu sebagai petanda kecederaan yang dialami Mbappe tidak serius seperti disangka. Beliau turut memaklumkan keputusan mengeluarkan penyerang itu lebih kepada langkah pencegahan kecederaan.
“Bagi Kylian, tiada masalah, beliau cuma merasa sedikit kesakitan pada bahagian buku lali tetapi itu normal. Beliau tidak pernah meragui dirinya walaupun dalam perlawanan yang bersifat fizikal dan mencabar,” katanya seperti dilaporkan The Mirror.
Deschamps juga percaya keyakinan Mbappe sebagai peledak tidak terjejas meskipun terlepas penalti ketika menentang Maghribi.
“Beliau terlepas penalti tetapi beliau orang yang banyak menyumbang kepada kita dan sentiasa memberi manfaat kepada Perancis dengan setiap peluang (yang diciptanya),” tambahnya.
Perancis meraih kemenangan 2-0 hasil jaringan Mbappe dan Ousmane Dembele. Mereka akan berdepan sama ada Belgium atau Sepanyol di peringkat separuh akhir.