Perbezaan terkini saham tiga penjaga gol utama Malaysia mencetuskan perbualan dalam kalangan peminat.
Skuad kendalian Kim Pan-gon baru sahaja tamat mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Harimau Malaya tewas kedua-dua perlawanan dengan keputusan 2-0.
Kedudukan ini menyaksikan Malaysia turun ke tangga ketiga kumpulan selepas mengumpul 6 mata daripada 4 perlawanan.
Perkembangan posisi penjaga gol sentiasa mencuri tumpuan dengan beberapa penjaga gawang saling bertukar peranan.
Tiga penjaga gol Malaysia iaitu Syihan Hazmi, Sikh Izhan dan juga Azri Ghani dilihat sering menjadi pilihan untuk pengendali kelahiran Korea Selatan itu bagi membawa cabaran negara.
Mereka juga merupakan senarai penjaga gawang yany dibawa ke Piala Asia di Qatar tempoh hari.
Penjaga gol utama negara, Syihan Hazmi kekal penjaga gol paling bernilai menerusi data oleh laman Transfermarkt dengan tanda harga 300,000 Euro (RM1.54 Juta).
Pemain Malaysia B-23 negara, Sikh Izhan Nazrel yang kini berusia 22 tahun baru sahaja melengkapkan perpindahan ke Penang FC secara pinjaman daripada Selangor FC.
Beliau memiliki nilai pasaran setinggi 150,000 Euro (RM767,000) dan kini sudah pun beraksi dalam kesebelasan utama pasukan Liga Super seperti bersama Negeri Sembilan musim lalu.
Penjaga gol KL City, Azri Ghani kini menjadi pilihan Pan-gon sejak hampir dua musim bersama The City Boys.
Beliau memiliki nilai pasaran yang setanding dengan Sikh Izhan iaitu 150,000 Euro (RM767,000).
Ketiga-tiga penjaga gol berbakat negara ini dijangka akan terus menjadi sandaran bagi membantu Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026, Jun nanti.