Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan perkembangan susulan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Ketika ini, kes melibatkan Persekutuan Bola Antarabangsa (FIFA) bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya memasuki fasa akhir.
Hal ini selepas kes ini dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk memperjuangkan nasib tujuh pemain warisan Malaysia.
AFC dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas Kali Kelima Penggal 2025-2029 FAM menyaksikan penglibatan badan induk itu untuk mengetahui situasi sebenar bola sepak negara.
Kenyataan daripada Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John Paul selepas mesyuarat itu memaklumkan bahawa status semasa tujuh pemain ini hanya boleh beraksi buat kelab sahaja.
“Kita berbincang dengan FIFA untuk mendapatkan butiran penuh. AFC juga mahu mengetahui status sama ada pemain ini boleh beraksi buat pasukan kebangsaan atau tidak.
“Setakat ini, mereka hanya boleh bermain untuk kelab,” ujar Windsor.
Pandangan ini dinyatakan susulan FIFA telah pun membuat keputusan awal melibatkan perlawanan Harimau Malaya yang menurunkan tujuh pemain ini.
“Hal ini disebabkan FIFA sudah pun membuat keputusan berasingan berkenaan status perlawanan-perlawanan persahabatan.
“Sudah ada keputusan berasingan bahawa tujuh pemain ini tidak boleh beraksi buat pasukan kebangsaan,” tambahnya lagi.
“AFC juga perlu menunggu butiran daripada CAS memandangkan kita hanya mendapat penjelasan pendek sahaja.”
Setakat ini, tujuh pemain warisan Harimau Malaya telah pun mendapat Stay of Execution yang membolehkan mereka beraksi buat kelab masing-masing.
CAS bakal melakukan satu persidangan berhubung kes ini pada 26 Februari 2026 untuk memutuskan nasib tujuh pemain warisan Harimau Malaya ini.