Perlawanan persahabatan Indonesia-Argentina berakhir dengan kemenangan 2-0 buat juara Piala Dunia 2022 itu. Tetapi bagi jurulatih Albiceleste, Lionel Scaloni, perlawanan menentang Tim Garuda dianggap sukar lebih-lebih lagi tanpa kelibat beberapa bintang utama mereka termasuk Lionel Messi.
Sebelum perlawanan ini, Scaloni sudah menyatakan bahawa Messi, Nicolas Otamendi dan Angel Di Maria tidak akan menyertai perlawanan tersebut. Sebaliknya, legenda Deportivo La Coruna itu mahu memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi menentang anak-anak buah Shin Tae-yong itu.
Tetapi percaturan ini hampir memakan diri apabila Albiceleste gagal menembusi benteng tuan rumah yang diketuai bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Jordi Amat.
Argentina akhirnya meraih gol pada minit ke-38 menerusi Leandro Paredes. Bek tengah Tottenham Hotspur, Cristian Romero memastikan kemenangan milik mereka menerusi gol pada minit ke-55.
“Perlawanan berjalan seperti yang kita jangkakan tidak akan mudah. Tetapi para pemain tetap melakukan yang terbaik.
“Dan perlawanan menentang Indonesia tiada beza bagi pemain kita. Harus diakui perlawanan ini menjadi sukar kerana kita tidak menurunkan beberapa pemain utama,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam seperti dilaporkan CNN Indonesia.