Persembahan luar yang ditampilkan kapten pasukan Thailand, Chanathip Songkrasin di kempen AFF Suzuki 2020 telah membantu dirinya meraih gelaran sebagai pemain paling bernilai untuk edisi kali ini. Pemain yang berusia 28 tahun ini juga berjaya membantu pasukannya, Thailand menjuarai Piala AFF Suzuki 2020.
Thailand dinobatkan sebagai juara setelah menewaskan Indonesia. Pentas akhir pertama tempoh hari menyaksikan Thailand menang keatas Indonesia 4-0 dan semalam Thailand mencatat keputusan seri 2-2 keatas Indonesia. Secara agregatnya, Thailand menang, 6-2.
Chanathip dalam perlawanan semalam turut menjadi pemain paling bertenaga ketika di dalam padang. Beliau menjadi nadi kepada jentera serangan Thailand dan beliau berjaya buktikan kredibilitinya sebagai pemain tengah dan kapten pasukan yang paling berpengaruh dan penuh karisma.
Menurut hantaran di akaun Twitter AFF Suzuki, Chanathip mencatatkan heat map yang sangat cemerlang. Pemain yang beraksi di Liga Jepun ini juga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bersama 3 lagi pemain lain iaitu Safawi Rasid, Teerasil Dangda dan Bienvenido.
Empat gol yang disumbang Chanathip sekaligus melayakkan dirinya untuk bergelar pemain paling bernilai bagi edisi Piala AFF 2020.
Untuk rekod, Chanathip berjaya meraih anugerah pemain paling bernilai Piala AFF pada tahun 2014, 2016 dan 2020. Gelaran MVP buat Chanathip dalam edisi kali ini merupakan gelaran kali ketiga buat dirinya di pentas kejohanan Piala AFF Suzuki.