Perubahan besar dalam skuad Harimau Malaya dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Perkara itu disuarakan oleh perancang tengah berbakat negara, Nooa Laine yang teruja dengan struktur baharu pasukan kebangsaan.
Cetusan yang dibawa oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor itu menyaksikan beberapa posisi penting digalas oleh individu baharu termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan iaitu Rob Friend dan juga Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan iaitu Dr. Craig Duncan.
Pelantikan ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski juga mencetuskan rasa teruja dalam kalangan pemain kebangsaan.
Nooa yang ditemui pada majlis pelancaran jersi baharu Harimau Malaya melibatkan kerjasama antara PUMA dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap perkara lebih baik buat Harimau Malaya.
“Perubahan besar akan berlaku dan ia bagus untuk pasukan kebangsaan. Saya teruja dan harapnya dapat menjadi sebahagian daripadanya.
Tonggak berusia 23 tahun itu yakin Peter merupakan individu tepat untuk memacu lebih banyak kejayaan buat pasukan kebangsaan.
“Saya baru sahaja bertemunya di sini dan beliau merupakan individu yang bakal membawa kita ke arah lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di Sunway Pyramid Mall baru- baru ini.
Ujian sulung Peter dan Harimau Malaya adalah aksi menentang pasukan ke-175 dunia, Nepal pada 25 Mac 2025.