Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski membawa khabar terbaharu mengenai proses mendapatkan pemain warisan Malaysia.
Sebelum ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan bahawa pihak Baginda sudah menemui hampir 7 pemain yang berpotensi menyarung jersi Harimau Malaya.
Malah, DYAM Tunku Ismail turut menjelaskan pemain yang ditemui Baginda rata-rata berasal daripada selatan Eropah dan tiada seorang pun yang datangnya dari negara England.
Dalam perkembangan berkaitan, Peter Cklamovski yang tiba di tanah air pada Rabu memaklumkan bahawa proses untuk mendapatkan pemain warisan ini masih sedang berjalan.
Walaupun begitu, Cklamovski nyata tidak berminat untuk membincangkan mengenai hal ini dan lebih tertarik dengan kerjasama melibatkan Harimau Malaya dan jenama sukan terkenal, Puma.
”Ini (usaha mendapatkan pemain warisan) adalah proses yang sedang berjalan ketika ini dan bukan topik untuk saya bincangkan pada hari ini, ujar Cklamovski ketika ditemui di Sunway Pyramid.
”Apa yang lebih mengujakan saya adalah Puma berada di sini dan menjalankan kerjasama bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” tambah bekas pengendali FC Tokyo itu.
FAM dan juga Puma menjalinkan kerjasama selama 4 tahun apabila satu perjanjian ditandatangani dalam satu majlis di Puma Official Store, Sunway Pyramid pada Khamis.
Dalam majlis tersebut, FAM dan Puma memperkenalkan jersi yang bakal digunakan oleh pasukan Harimau Malaya dengan warna kuning dan hitam kekal sebagai tradisi bagi kit baharu.