“Pesalah Kes 7 Pemain Warisan Harimau Malaya Boleh Dipenjara” – PDRM
MakanBola
FA Malaysia

Pesalah kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya berpotensi dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun.

Hal ini dinyatakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, Datuk Rusdi Mohd Isa apabila diminta mengulas perkembangan siasatan kes tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan fokus kepada unsur penipuan dan pemalsuan.

Sekiranya didapati bersalah, pesalah bukan saja dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun. Malah, pesalah juga boleh dikenakan sebatan dan denda.

Siasatan polis dibuat susulan 45 laporan polis yang difailkan berhubung isu tersebut. Ini termasuk satu laporan polis yang dikemukakan FAM.

Sebelum ini, FAM membuat laporan polis berhubung isu tersebut. Ini sebahagian daripada syor IIC kepada FAM berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain negara.

Rusdi turut memaklumkan taraf kewarganegaraan yang diberi kepada tujuh orang pemain warisan Harimau Malaya itu dibuat melalui proses dan prosedur yang teratur dan mengikut undang-undang.

“PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi di samping memberi jaminan untuk komited dalam memastikan ketelusan serta integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.

Rusdi turut memaklumkan dua individu dikenal pasti terlibat dalam isu pemalsuan dokumen berkenaan.