Peter Cklamovski Lihat Sisi Positif ASEAN Hyundai Cup
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski melihat saingan ASEAN Hyundai Cup bakal memberi pelbagai manfaat buat pasukan itu.

Hal ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas keputusan cabutan undi kumpulan kejohanan itu di Jakarta pada Khamis.

Cklamovski melihat ini bukan saja peluang buat Harimau Malaya menambah pilihan pemain baru di pelbagai posisi.

Malah, ini juga peluang buat skuad negara terutama pemain baharu menimba pengalaman di peringkat antarabangsa. Hal ini cukup penting dengan mengambil kira kejohanan besar seterusnya termasuk Sukan SEA 2027.

ASEAN Hyundai Cup mempersembahkan peluang pembangunan penting untuk kami,” kata jurulatih Australia itu dalam satu kenyataan.

“Memandangkan ia diadakan di luar kalendar antarabangsa FIFA, ini membolehkan kami menambah lebih ramai pemain baharu, memberi pengalaman antarabangsa buat pemain baru dan memperkuatkan laluan ke skuad Harimau Malaya.

“Ini tatkala kami membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan besar pada masa hadapan termasuk Sukan SEA 2027 di Malaysia.”

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos. Skuad negara berharap dapat menebus kekecewaan edisi 2024 apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Pencapaian terbaik Harimau Malaya ialah gelaran juara edisi 2010. Pada ketika itu, skuad negara dibimbing jurulatih legenda, K. Rajagopal.