Peter Cklamovski Teruja Dengan Faisal Halim
MakanBola
Malaysia NT

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, meluahkan keterujaan terhadap kepulangan semula Faisal Halim ke pangkuan skuad kebangsaan.

Cklamovski melihat Faisal sebagai pemain yang mampu memberi dimensi berbeza kepada barisan serangan Malaysia. Beliau percaya Faisal mempunyai potensi besar untuk menjadi watak penting dalam sistem yang cuba diterapkannya.

“Dia pemain sayap yang sangat menyerlah, penuh semangat dan mampu mencetus ancaman besar setiap kali mara ke hadapan.

“Faisal bermain dengan intensiti dan niat dalam setiap sentuhan. Ini adalah waktu yang sesuai untuk dia kembali ke skuad kebangsaan. Dia memang layak dan saya rasa dia ada cerita yang ingin dikongsikan,” jelas Cklamovski kepada BBC.

Walaupun tidak diturunkan dalam aksi terakhir menentang Vietnam tempoh hari, nama Faisal tetap tersenarai dalam skuad akhir 23 pemain seolah-olah memberikan satu isyarat jelas kepercayaan tinggi yang diberikan oleh pengendali dari Australia itu kepada Faisal.

Selain Faisal, posisi sayap Harimau Malaya turut menjadi rebutan dua lagi pemain yang semakin menjadi-jadi di pentas antarabangsa iaitu Arif Aiman dan Imanol Machuca.

Peter Cklamovski jelas mahu membina pasukan yang bukan sahaja kuat secara taktikal, tetapi juga dipenuhi dengan pemain-pemain yang memiliki jiwa dan karakter, dan Faisal Halim adalah salah satu figura penting dalam rancangannya untuk membentuk Malaysia yang lebih berani dan bertenaga.