Advertisement
PFAM Terima Aduan Masalah Gaji Pemain Kelantan
Liga Super
MakanBola
@pfamalaysia

Pelbagai isu terus membelenggu Kelantan termasuk isu gaji dalam kalangan pemain. Berhubung isu ini, dua orang pemain iaitu Farhan Abu Bakar dan Afzal Akbar membuat aduan rasmi berkenaan perkara tersebut kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Berdasarkan perkongsian yang dibuat di laman media sosial PFAM, kedua-dua pemain itu mengadakan pertemuan dengan Eksekutif Undang-Undang PFAM, Syafiq Jebat di pejabat organisasi itu di Kuala Lumpur hari ini.

Aduan tersebut dibuat bagi membolehkan kedua-dua pemain itu mendapatkan keadilan tentang isu gaji yang dialami mereka. Sebagai rekod, Farhan tidak lagi bersama Kelantan dengan statusnya kini sebagai ejen bebas.

Nama Kelantan mula menjadi bualan susulan pendedahan pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengenakan pemotongan gaji 50% kepada para pemain selepas prestasi buruk The Red Warriors (TRW) dalam liga musim ini.

Biarpun mempertahankan tindakan tersebut atas alasan pemain-pemain gagal mencapai indeks pencapaian utama (KPI), ia mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak terutama penyokong Kelantan di media sosial.

Aduan Farhan dan Afzal kepada PFAM ini bakal membuka ruang bagi penjelasan daripada pemilik kelab, Norizam Tukiman apabila sesi soal jawab juga akan diadakan seperti dijanjikan selepas majlis rumah terbuka diadakan pada Sabtu ini.

Sudah tentu ramai penyokong mahukan jawapan kepada semua isu yang membelenggu Kelantan ketika ini.