Piala AFC: Sabah Gah Bantai Hougang United
MakanBola
AFC

Sabah FC meneruskan aksi cemerlang mereka di pentas asia apabila berjaya menumbangkan wakil Singapura, Hougang United dalam saingan Kumpulan F Piala AFC sebentar tadi.

Sabah yang menurunkan barisan terkuat mereka memulakan perlawanan dengan momentum menyerang yang bertali arus.

Selepas beberapa percubaan Sabah tidak menemui jaring lawan, Sabah akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-16 melalui gol sendiri pertahanan Hougang, Naoki Kuriyama yang tertampan bola hasil hantaran lintang Daniel Ting di bahagian kiri.

Selepas terhasilnya gol pendahuluan tersebut, perlawanan terpaksa ditangguhkan seketika selepas cuaca buruk melanda Stadium Jalan Besar.

Perlawanan hanya disambungkan semula pada 8.53 malam dengan keadaan padang yang semakin ditakungi air dan menyebabkan pergerakan bola beberapa kali tersekat.

Sabah meneruskan momentum serangan dengan beberapa percubaan. Ketika separuh masa pertama hampir ditamatkan, Darren Lok berjaya menambah derita Hougang dengan sepakan penalti pada minit ke-44.

Penalti tersebut dihadiahkan kepada Sabah selepas pemain import, Miguel Cifuentes dijatuhkan Nazrul Nazari. Darren Lok yang ditugaskan mengambil sepakan penalti tidak berdepan masalah untuk menutup separuh masa pertama dengan keputusan 2-0 memihak Sabah.

Bersambung babak kedua, Hougang terus ditekan dengan hebat oleh barisan pemain Sabah yang sangat garang di bahagian serangan.

Hasil serangan bertali arus, Sabah akhirnya berjaya meledak lagi kali ini melalui Ramon Machado yang menyudahkan hantaran menarik dari Cifuentes pada minit ke-50.

Ketinggalan dengan tiga jaringan, Hougang dilihat semakin tertekan dan segalanya seperti tidak menjadi buat mereka.

Pada minit ke-77, Sabah berjaya merekodkan jaringan keempat mereka dalam perlawanan ini selepas Anders Aplin tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang hantaran lintang dari Rizal Ghazali. Sabah di hadapan 4-0.

Hougang akhirnya berjaya mendapat gol saguhati pada masa kecederaan melalui percubaan menarik Gabriel Quak sekali gus mengubah kedudukan menjadi 4-1.

Tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan selepas itu sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat Sabah. Sabah kini berada di puncak carta Kumpulan H Piala AFC dengan mengumpul 12 mata manakala Hougang kekal di kedudukan tercorot selepas mengutip 3 mata selepas 5 perlawanan.