Penyerang berbisa Singapura, Ikhsan Fandi Ahmad berjaya membantu pasukannya mula dengan langkah kanan di AFF Suzuki 2020 ketika menewaskan Myanmar 3-0 semalam. Pemain yang berusia 22 tahun itu melengkapkan malam gemilang Singapura dengan meledak dua gol.
Dalam perlawanan tersebut, Safuwan Baharudin berjaya membuka akaun jaringan perlawanan apabila menyempurnakan satu hantaran daripada sepakan sudut. Pertahanan Selangor FC itu berjaya menanduk masuk bola ke gawang sekaligus menewaskan penjaga gol Myanmar pada minit ke-34 permainan.
Selang beberapa minit selepas itu, penyerang sensasi Ikhsan Fandi tampil dengan penuh yakin merembat masuk bola ke gawang Myanmar. Gol cantik Ikhsan itu menjadi bualan ramai dan pemain yang bertubuh sasa itu dikatakan memiliki teknik sepakan dan finishing yang baik oleh ramai peminat bola sepak.
Anak kepada lagenda Singapura, Fandi Ahmad itu menambah duka buat pasukan Myanmar pada minit ke-39 permainan dengan satu tandukan tepat ke gawang pasukan lawan. Gol Ikhsan tersebut sekaligus memberi kemenangan pertama buat Singapura di pentas AFF Suzuki 2020.
Ikhsan Fandi turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan semalam. Khidmat anak muda ini pasti akan terus ditagih pengendali Singapura untuk dijadikan mesin gol buat pasukan.