Advertisement
Piala AFF: Gol Shawal Bantu Singapura Kalahkan Myanmar
Piala AFF
MakanBola
Astro Arena

Singapura memulakan saingan mereka dalam Kumpulan B Piala AFF 2022 dengan tiga mata selepas membenam Myanmar 3-2 di Stadium Jalan Besar, Kallang, Singapura hari ini.

Sebaik sepak mula, Singa Kallang mula mengasak pihak lawan. Bagaimanapun, skuad Chinthe yang dibimbing Antoine Hey memanfaatkan kelebihan fizikal bagi menyekat sebarang gerakan serangan mereka.

Tetapi Singapura hampir di hadapan pada minit ketujuh menerusi Ilhan Fandi selepas menerima hantaran lambung penyerang Lion City Sailors, Shawal Anuar. Bagaimanapun, cubaan penyerang baru KMSK Deinze itu membuat sepakan lambung mengatasi penjaga gol Myo Min Latt tidak menepati sasaran.

Lima minit selepas itu, giliran Shawal pula menguji pertahanan Chinthe. Sebaik menerima hantaran pemain tengah veteran Shahdan Sulaiman, dia melepaskan rembatan ke arah gawang Myanmar. Bagaimanapun, sepakannya terkena terjahan bek tengah Shan United, Ye Min Thu sebelum ditangkap oleh Min Latt.

Pada minit ke-19, Singapura menghela nafas lega apabila percubaan Myanmar tidak membolosi gawang mereka. Ini selepas satu sepakan sudut yang diambil ditanduk pemain Chinthe ke arah gawang yang dikawal Zaiful Nizam Abdullah tetapi terkena tiang sebelum dikeluarkan Hafiz Nor.

Myanmar yang bergantung kepada taktik serangan balas kemudiannya memecah kebuntuan menerusi kapten Maung Maung Lwin pada minit ke-34. Bermula dari satu serangan balas dari belah pertahanan mereka, Aung Kaung Mann menerima satu hantaran sebelum melarikan bola ke arah kotak penalti Singapura. Dia kemudiannya melorongkan bola kepada Maung Lwin yang mudah menewaskan Zaiful Nizam.

Tersentak, Singapura yang dibimbing Takayuki Nishigaya cuba bangkit. Tetapi skuad Chinthe hampir membolosi Zaiful Nizam buat kali kedua pada minit ke-40. Kesilapan Shakir Hamzah mengawal bola mengakibatkan Kaung Mann merampas bola sebelum mara ke kotak penalti Singa Kallang. Bagaimanapun, sepakan leretnya ke arah gol Singapura tersasar.

Usaha Singapura mencari gol penyamaan berhasil juga pada minit ke-45 menerusi Ilhan. Bermula dari gerakan Faris Ramli, dia menghantar bola kepada pemain pertahanan Christopher van Huizen sebelum membuat hantaran dari sebelah kiri. Walaupun cuba dicabar Min Thu dan Htet Aung, Ilhan mudah menanduk bola menewaskan Min Latt.

Faris sekali lagi hampir mencipta gol kedua Singa Kallang sebelum separuh masa pertama tamat. Hafiz membuat hantaran dari sebelah kanan kepada bekas penyerang Lion City Sailors itu sebelum melorongkan bola kepada Shahdan. Bagaimanapun, sepakan bekas pemain import Melaka United itu tidak menepati sasaran. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Singapura memasukkan Ryhan Stewart dan Hami Syahin menggantikan Hafiz dan Faris. Dan mereka hampir mendahului pada minit ke-46. Pemain gantian Ryhan Stewart yang mengisi bek kanan membuat satu umpanan dari sebelah kanan yang cuba ditanduk Ilhan tetapi berjaya dipintas oleh Min Latt.

Usaha keras Singa Kallang akhirnya membuahkan hasil apabila Shah Shahiran meledakkan rembatan dari luar kotak penalti ke penjuru atas gawang Min Latt pada minit ke-49. Selepas menyedari penjaga gol Ratchaburi itu sedikit ke depan, Shah yang menerima hantaran Hami membuat satu percubaan yang gagal ditepis penjaga gol Myanmar itu.

Terdesak, Hey mengeluarkan Kaung Man dan memasukkan Win Naing Tun bagi menambah sengat Myanmar. Dan mereka hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-57 apabila Naing Tun berjaya melepasi kawalan pertahanan Singapura sebelum melorongkan bola ke dalam kotak penalti. Bagaimanapun, sebelum sempat pemain import Selangor Hein Htet Aung menolak bola ke dalam gawang, ia berjaya dihalang van Huizen.

Kesungguhan skuad Chinthe memburu gol penyamaan akhirnya berhasil pada minit ke-65. Gol terhasil akibat kegagalan Stewart menampan bola dengan kemas dalam kotak penalti tuan rumah. Ia segera direbut oleh Maung Lwin sebelum melepaskan rembatan voli menewaskan Zaiful Nizam. Dua minit selepas itu, Singapura hampir menambah gol ketiga menerusi Shawal tetapi percubaannya terbang melepasi gol.

Kegigihan Shawal memburu gol akhirnya membuahkan hasil menerusi gol pada minit ke-74. Hantaran jauh yang dibuat Zaiful Nizam berjaya sampai kepada Shawal sebelum dia melarikan bola ke gawang skuad Chinthe. Walaupun cuba dihalang dua pemain pertahanan Myanmar, penyerang Lion City Sailors itu meledakkan satu rembatan kencang menewaskan Min Latt.

Usaha anak-anak buah Hey memburu gol penyamaan semakin sukar apabila pemain tengah Nanda Kyaw dibuang padang oleh pengadil Korea Selatan, Kim Jong-hyeok pada minit ke-80. Maung Lwin yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil kemudiannya dilayangkan kad kuning. Ini memaksa Hey memasukkan Ye Yint Aung pada minit ke-85 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nanda Kyaw.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, skuad Chinthe terus memburu gol penyamaan lebih-lebih lagi selepas enam minit masa tambahan diperuntukkan. Dan mereka hampir membolosi Zaiful Nizam buat kali ketiga pada minit ke-90 menerusi sepakan dari luar kotak penalti Ye Yint Aung tetapi sepakannya hanya melepasi bahagian tepi gol. Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan tipis ini, Singapura menduduki tangga kedua Kumpulan B dengan tiga mata di belakang Vietnam. Tetapi ia boleh saja berubah sekiranya skuad Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon melakar kemenangan ke atas Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.