Advertisement
Piala AFF: Indonesia Rai Pesta Jaringan Dengan Sujud Syukur
Dunia
MakanBola
TV Okey

Indonesia mulakan langkah kanan dalam saingan Piala AFF apabila berjaya mencatat kemenangan pertama. Skuad Garuda berjaya menumpaskan Kemboja dengan keputusan 4-2.

Gol pertama terhasil seawal minit ke-4 permainan apabila hantaran sepakan sudut daripada Ivan Dimas disempurnakan dengan tandukan cantik oleh Rachmat Irianto. Jaringan pembukaan itu meletakkan Indonesia mendahului Kemboja di hadapan dengan jaringan 1-0.

Pada minit ke-18 permainan, kapten pasukan Indonesia, Ivan Dimas terus cemerlang apabila turut mencatat nama selaku penjaring. Ivan melepaskan satu percubaan kencang dengan kaki kanan sekaligus menewaskan penjaga gol Kemboja, Kimhuy Hul.

Indonesia menambah jaringan pada minit ke-33 permainan menerusi tandukan Rachmat Irianto. Gol ketiga tersebut meletakkan Indonesia kukuh memimpin perlawanan.

Namun Kemboja tidak mengalah, skuad kendalian Keisuke Honda itu berjaya menjaringkan gol pertama pasukan yang dimanfaatkan daripada sepakan penjuru. Gol terhasil menerusi Yue Safy pada minit ke-37 permainan.

Memasuki babak kedua permainan, Indonesia terus selesa dihadapan apabila mendapat gol keempat menerusi Ramai Malaifani. Rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-54 sekali lagi tidak dapat diselamatkan penjaga gol lawan.

Pada minit ke-60 permainan Kemboja tidak mengalah, terus mencuba merapatkan jurang jaringan apabila sepakan percuma yang diambil Prak Mony gagal diselamatkan penjaga gol Indonesia. Sepakan deras Prak Mony yang terkena benteng pertahanan Indonesia meluru masuk ke gawang menewaskan Syahrul Fadil.

Kedua-dua pasukan dilihat saling menyerang untuk menambah jaringan. Bagaimanapun tambahan tiga minit masa kecederaan tidak dapat mengubah keputusan perlawanan. Indonesia menang 4-2.