Piala Dunia FIFA: Belgium ‘Tendang’ USA Keluar
MakanBola
USMNT

Harapan USA selaku tuan rumah untuk melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia FIFA berakhir di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada Belgium awal pagi Selasa.

Belgium mempamerkan status sebagai pasukan pilihan apabila menundukkan USA 4-1 di Stadium Seattle dengan Charles De Ketelaere menjadi pemusnah utama menerusi dua jaringan yang memastikan kemaraan The Red Devils.

Folarin Balogun kembali dalam kesebelasan utama USA selepas penggantungan kad merahnya ditangguhkan oleh FIFA.

Belgium pula membuat kejutan apabila Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Jérémy Doku hanya bermula di bangku simpanan.

Belgium tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila Charles De Ketelaere menjaringkan gol pada minit ke-9 hasil hantaran lintang rendah Nicolas Raskin sebelum melakukan tap-in mudah.

Pada minit ke-20, Belgium terpaksa melakukan pertukaran awal disebabkan kecederaan yang menimpa Amadou Onana. Hans Vanaken dibawa masuk menggantikan pemain tengah Aston Villa tersebut.

USA menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi Malik Tillman yang sekali lagi mencipta jaringan hasil sepakan percuma selepas bola terkena kepala Hans Vanaken sebelum menerjah gawang sendiri.

Belgium tidak menunggu lama untuk membalas apabila Charles De Ketelaere menjaringkan gol kedua pada minit ke-33, hasil tandukan hasil umpanan lintang cantik Leandro Trossard.

Belgium menambah derita USA pada minit ke-57 apabila kesilapan penjaga gol Matthew Freese dihukum oleh Hans Vanaken yang tenang menyudahkan bola ke gawang kosong dari jarak jauh.

Ketua jurulatih USA, Mauricio Pochettino memasukkan Giovanni Reyna dan Ricardo Pepi pada separuh masa kedua bagi menambah ancaman serangan namun kedua-dua pemain gantian itu gagal membantu pasukan mengejar jaringan.

Belgium melengkapkan kemenangan pada minit ke-90+3 apabila Romelu Lukaku menghukum kealpaan Chris Richards dengan rembatan deras yang menerjah gawang USA.

Kelebihan Belgium kekal sehingga wisel penamat ditiupkan apabila The Red Devils menewaskan USA 4-1 di Stadium Seattle sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir dan bakal berdepan Sepanyol pada 11 Julai.