Algeria dan Austria mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati meskipun terikat 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan J.
Kedua-dua pasukan sedar mereka tidak boleh tewas jika ingin layak ke pusingan kalah mati. Ini kerana keputusan seri sudah cukup untuk menjamin kelayakan selaku naib juara Kumpulan J dan pasukan ketiga terbaik.
Sebaliknya jika Austria atau Algeria tewas, ini akan membuka ruang buat pasukan gergasi Asia, Iran untuk mara. Ini kerana Iran berada di kedudukan kelapan pasukan ketiga terbaik kumpulan.
Bintang Al-Ahli, Riyad Mahrez mengetuai kempen Algeria. Marko Arnautovic menjadi sandaran gol jurulatih Austria, Ralf Rangnick.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati sambil mencari gol awal di Stadium Arrowhead.
Gawang Algeria bolos pada minit ke-28 menerusi Arnautovic. Bekas penyerang Stoke City itu menyudahkan hantaran David Alaba untuk menewaskan penjaga gol, Oussama Benbot.
Keceriaan kem Austria hanya bertahan selama 16 minit. Bek kanan Hellas Verona, Rafik Belghali memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat dengan gol pada minit ke-44.
Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Austria mendahului buat kali kedua menerusi bekas pemain Manchester United, Marcel Sabitzer. Sabitzer menyudahkan hantaran Konrad Laimer pada minit ke-55.
Anak buah Vladimir Petkovic tidak berputus asa dan kembali mengejar gol penyamaan. Hasilnya, Mahrez menceriakan kem Algeria dengan gol pada minit ke-60.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan. Mahrez menyangka telah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-91.
Walau bagaimanapun, Sasa Kalajdzic memastikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 dengan gol minit akhir babak kedua. Keputusan itu sudah cukup untuk membawa Algeria dan Austria ke pusingan seterusnya.
Sofascore memilih Mahrez sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0.