Piala Dunia Kelab: Bayern Munich ‘Ratah’ Auckland City
MakanBola
FC Bayern Munich

Kelab gergasi Jerman, Bayern Munich memulakan kempen Piala Dunia Kelab 2025 dengan kemenangan besar ke atas Auckland City dari New Zealand.

Aksi pertama kumpulan C ini menyaksikan Bayern Munich yang merupakan bekas juara Eropah dijadualkan bertemu Auckland City yang hadir ke US ini tanpa beberapa pemain utama.

Pertahanan baharu Bayern Munich, Jonathan Tah melakukan penampilan sulung bersama The Bavarians tatkala Auckland City bermain dengan formasi 5-4-1 diketuai tonggak tengah, Mario Ilich.

Seawal minit ke-6 aksi, Kingsley Coman berjaya meletakkan Bayern Munich di hadapan 1-0 menerusi tandukan dari jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol Auckland City, Conor Tracey.

3 jaringan dalam masa 4 minit daripada Sacha Boey, Michael Olise dan juga Kingsley Coman selepas itu memastikan satu kelebihan selesa 4-0 untuk Bayern Munich pada perlawanan ini.

Sebelum rehat tiba, giliran Thomas Muller dan juga Michael Olise sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring masing-masing hasil percubaan yang gagal dinafikan oleh benteng Auckland City.

Separuh masa pertama tamat, Bayern Munich 6-0 Auckland City.

Kembali dari rehat, kubu Auckland City terus menjadi sasaran Bayern Munich dengan bintang antarabangsa Jerman, Jamal Musiala dibawa masuk untuk menambah bisa serangan kelab gergasi Eropah itu.

Hasilnya Musiala berjaya meledak hatrik pada minit ke-67, 73 dan 82 untuk Bayern Munich mendahului permainan dengan kelebihan 9 jaringan ke atas Auckland City yang juga adalah wakil Oceania.

Hari penuh gemilang buat Bayern Munich ini ditutup dengan gol ke-10 menerusi bintang utama pasukan, Thomas Muller ketika pertarungan ini berbaki satu minit lagi bagi dimainkan.

Aksi di Cincinnati, US berakhir dengan keputusan 10-0 memihak Bayern Munich.

Pada perlawanan akan datang, Bayern Munich akan bertemu Boca Juniors dari benua Argentina sementara Auckland City pula dijadualkan menentang satu lagi kelab Eropah, Benfica pada 21 Julai.