Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia Mula Langkah Kanan, Jinakkan Jepun
UltraSukan
Persatuan Sepak Takraw Malaysia

Malaysia membuka tirai saingan Piala Dunia Sepak Takraw bagi acara double dengan langkah kanan apabila tidak berdepan masalah untuk menumbangkan wakil Asia Timur, Jepun pada Ahad.

Skuad negara yang diundi di dalam kumpulan A bagi kategori double ini bersama-sama Jepun dan Brunei mempertaruhkan gandingan Aidil Aiman dan Noraizat Nordin untuk meraih kemenangan.

Di awal set pertama, pasukan Malaysia bermula garang dengan beberapa libasan Noraizat yang gagal dikembalikan oleh Jepun untuk mendahului 11-6 ketika pertengahan permainan.

Jepun cuba bangkit untuk mengejar kedudukan skuad Malaysia apabila memanfaatkan kesilapan-kesilapan kecil namun itu tidak cukup untuk menafikan kemenangan di set pertama buat pasukan kebangsaan 15-9.

Bersambung set kedua, gandingan negara terus beraksi cemerlang apabila tidak memberi peluang buat Jepun untuk mendapatkan mata-mata mudah.

Kemasukan Baihakki A’rippin oleh barisan kejurulatihan memastikan kemenangan selesa buat pasukan negara untuk menutup cerita di set kedua aksi pertama dengan keputusan 15-3

Perlawanan tamat, Malaysia mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Jepun setelah memenangi dua set dengan keputusan 15-9, 15-3.

Selepas ini, skuad sepak takraw kebangsaan akan turun berdepan Brunei pada Isnin jam 9.30 malam untuk melengkapkan aksi kumpulan A acara double.