Advertisement
Piala Dunia U17: Amerika Syarikat Sekat Tentangan Sengit Burkina Faso
Piala Dunia
MakanBola
FIFA

Amerika Syarikat terus gah menerajui Kumpulan E dengan mengalahkan Burkina Faso 2-1 di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) hari ini.

Selepas berjaya mengalahkan Korea Selatan 3-1 dalam aksi pertama kumpulan, Baby Nats hanya memerlukan satu kemenangan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Sementara Burkina Faso yang dibimbing bekas bintang import Persib Bandung, Brahima Traore berharap dapat mengelak daripada mengalami kekalahan kedua.

Atas sebab itu, Les Etalons mula melancarkan serangan pada babak pertama dengan mencari gol awal. Ini dibuktikan menerusi statistik Sofascore di mana mereka melancarkan 10 percubaan berbanding Baby Nats (empat percubaan).

Bagaimanapun, barisan serangan Amerika Syarikat lebih tajam di hadapan gol. Mereka menyumbat dua gol pada minit akhir babak pertama masing-masing menerusi Keyrol Figueroa dan Nimfasha Berchimas.

Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat. Bersambung pada babak kedua, Les Etalons terus meningkatkan serangan ke atas Baby Nats.

Ini memaksa penjaga gol Colorado Rapids, Adam Beaudry terpaksa bekerja keras menangkis percubaan demi percubaan lawan.

Biarpun membuat beberapa pertukaran pada babak kedua, anak-anak buah Traore masih gagal menembusi barisan pertahanan Amerika Syarikat.

Kesungguhan Burkina Faso mendapatkan gol akhirnya berhasil menerusi pemain gantian, Jack Diarra pada minit ke-89.

Les Etalons terus melancarkan serangan bagi mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Walaupun dibolosi pada minit akhir perlawanan, Beaudry diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0 mata.