Piala FA: JDT Benam Melaka United Di Hang Jebat

Melaka United JDT Hazwan Bakri Piala FA: JDT Benam Melaka United Di Hang Jebat
Melaka United

Aksi suku akhir Piala FA menemukan tuan rumah Melaka United yang melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT). Kemenagan berpihak kepada pasukan JDT yang menewaskan Melaka United dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Gol-gol JDT dijaringkan oleh Ahmad Hazwan Bakri dan Bergson da Silva manakala gol Melaka dijaringkan oleh Sony Norde

Perlawanan dimulakan dengan dikuasai oleh pasukan pelawat iaitu JDT dan hasilnya seawal minit ke-3 mereka dihadapan selepas Hazwan Bakri menanduk tajam hantaran Leandro Velazquez untuk membolehkan JDT mendahului Melaka United 1-0.

Selepas gol tersebut terhasil, JDT terus memberikan tekanan kepada benteng Melaka manakala pasukan Melaka dilihat lebih banyak menyerang melalui gerak serangan balas.

Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan kekal memihak JDT 1-0.

Bersambung babak kedua, JDT terus menguasai perlawanan dan mereka hampir menambah gol kedua pada minit ke-49 melalui sepakan percuma yang diambil oleh Leandro Velazquez namun Bryan See berjaya menangkap kemas.

Wan Zaharulnizam turut mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-52 melalui sepakan voli tetapi Farizal lebih bersedia. Ini merupakan percubaan tepat pertama Melaka dalam perlawanan ini.

Pada minit ke-55, Hazwan Bakri terlepas peluang untuk menambah jaringan pada perlawanan ini selepas beliau menerima hantaran dari Arif Aiman namun percubaannya lemah dan mudah ditangkap oleh penjaga gol.

Melaka United dihadiahkan sepakan penalti yang dilihat sedikit kontroversi pada minit ke-82 selepas Sony Norde dijatuhkan Leandro Velazquez. Sony Norde yang mengambil penalti tersebut dengan tenang menyudahkannya untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Serangan Melaka tidak terhenti di situ apabila Sony Norde hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-87 namun Farizal Marlias cemerlang menyelamatkan percubaan tersebut.

Bergson akhirnya berjaya menjaringkan gol kemenangan buat JDT pada masa tambahan melalui tandukan tajam daripada tendangan sudut yang diambil Nazmi Faiz sekaligus merupakan memberikan kemenangan buat JDT.

JDT layak ke separuh akhir Piala FA dan bakal berdepan Penang FC yang menewaskan Sri Pahang FC dalam satu lagi aksi suku akhir.