Piala FA: JDT Mudah Belasah Sarawak United Di SSI
Dunia
Johor Southern Tigers
Advertisements

Pusingan kedua Piala FA menemukan pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) melayan kunjungan Sarawak United. Perlawanan dimenangi oleh JDT dengan keputusan 3-0 menewaskan Sarawak United dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan gerak serangan cuba diatur pasukan JDT manakala Sarawak mencari peluang untuk melancarkan serangan balas.

JDT tidak menunggu lama untuk mendahului apabila seawal minit ke-6 Nazmi Faiz menyempurnakan sepakan percuma yang dihadiakan selepas Bergson dijatuhkan oleh S Veenod.

Advertisements

Selang tiga minit selepas gol itu, Fernando Forestieri hampir menggandakan kedudukan melalui rembatan dari luar kotak penalti namun sedikit tersasar.

Forestieri akhirnya menebus kekecewaan selepas beliau berjaya meledak gol kedua JDT pada minit ke-15 perlawanan. Gol itu terhasil selepas rembatan deras Bergson gagal ditepis kemas oleh penjaga gol Sarawak, Tauffiq Ar Rasyid. Forestieri pantas menyambar bola untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak JDT.

JDT dilihat menguasai hampir keseluruhan permainan manakala pasukan Sarawak dilihat bergelut untuk mengatur serangan.

Advertisements

Pada minit ke-43, Forestieri sekali lagi menunjukkan taringnya selepas berjaya meledak melalui rembatan lencong menarik untuk menjarakkan kedudukan menjadi 3-0. Ini merupakan gol kelima Forestieri dalam saingan Piala FA.

Separuh masa pertama ditamatkan selepas 3 minit masa tambahan. Kedudukan kekal memihak JDT mendahului Sarawak United 3-0.

Bersambung babak kedua, pemain gantian Safiq Rahim mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun rembatan beliau sedikit tersasar selepas beliau memperdaya 3 pemain pertahanan Sarawak.

Advertisements

Sarawak berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-51 melalui Lee Chang Hoon yang merembat deras dari luar kotak penalti namun Farizal tangkas menepis percubaan tersebut. Percubaan tersebut merupakan percubaan pertama Sarawak dalam perlawanan ini.

Pada minit ke-79, Bergson hampir menggandakan kedudukan namun rembatan deras beliau berjaya diselamatkan pertahanan Sarawak di atas garisan gol.

Pemain gantian, Ramadhan Saifullah juga berpeluang untuk mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-83 namun percubaan beliau hasil hantaran menarik Safawi Rasid berjaya ditepis Tauffiq.

Advertisements

Perlawanan ditamatkan selepas 4 minit masa tambahan yang diberikan dengan tanpa tambahan jaringan dapat dihasilkan. Kedudukan kekal memihak JDT 3-0 menewaskan Sarawak United.

Kemenangan besar ini sekali gus melayakkan JDT mara ke peringkat suku akhir Piala FA.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram