Selepas meraih kemenangan berharga 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini menagih sokongan padu penyokong untuk aksi suku akhir kedua.
Seruan ini dibuat selepas sokongan padu penyokong memacu Sang Kenari mencatatkan kemenangan 1-0 sebanyak dua kali ke atas Penang dalam saingan Liga Super dan Piala FA.
Justeru, sokongan padu lebih 25,000 penyokong ditagih untuk hadir ke Stadium Darul Aman untuk aksi suku akhir kedua menentang Penang pada 5 Julai ini.
Ini kerana sokongan padu penyokong bukan saja memberi kekuatan kepada anak buah Nafuzi Zain dari segi kekuatan moral. Malah, ini akan membantu Kedah dari segi kewangan terutama aliran tunai.
Pengurusan Sang Kenari menjangkakan purata kehadiran penyokong lebih 15,000 orang pada bulan Julai ini. Kehadiran mereka bakal menjana pendapatan sekitar RM1.5 hingga RM2.5 juta.
Jumlah pendapatan ini tidak termasuk pendapatan yang diterima menerusi jualan cenderamata di Booth Sang Kenari Store, aktiviti makanan dan minuman (F&B) melalui jualan GTR Burger, jualan makanan snek dari Express Point, jualan minuman KDAlicious, Mini Karnival Sang Kenari dan Save Our Sang Kenari Run.
Atas sebab itu, kehadiran penyokong amat ditagih bagi merealisasikan misi berkenaan. Setakat ini, kehadiran tertinggi penyokong di Stadium Darul Aman ialah 9,349 orang.
Bilangan tersebut dicapai dalam perlawanan Liga Super antara Kedah dan Perak FC yang berlaku pada 24 Mei lalu.