Aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 menyaksikan giliran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengungguli senarai kehadiran penonton tertinggi diikuti oleh Selangor FC.
Aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Darul Aman pada 5 Julai itu menyaksikan Kedah dan Penang terikat tanpa jaringan.
Meskipun seri, itu sudah cukup untuk menceriakan 16,700 penyokong yang hadir dengan Sang Kenari mengesahkan kelayakan ke separuh akhir.
Angka ini jauh lebih baik berbanding kehadiran 9,349 orang yang direkodkan dalam aksi Liga Super menentang Perak FC pada 24 Mei lalu.
Sementara itu, kehadiran 10,049 penyokong menyuntik semangat Merah Kuning untuk mengatasi cabaran Kuching City FC dalam aksi yang berlangsung pada 6 Julai lalu.
Selepas terikat 4-4 dari segi agregat, aura pemain ke-12 Selangor membantu anak buah Nidzam Jamil mara ke separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti.
Manakala Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pula meraih kemenangan besar 8-0 ke atas wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University FT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Kemenangan ini disaksikan oleh 6,583 orang penyokong pada 5 Julai lalu. Perlawanan ini turut menyaksikan Romel Morales dan Heberty Fernandes masing-masing mencipta dua gol.
Perlawanan suku akhir kedua membabitkan Sabah FC dan Terengganu FC merekodkan kehadiran terendah iaitu seramai 3,834 orang.
Angka ini tidak seramai kehadiran 5,141 orang yang direkodkan untuk aksi Liga Super antara Sabah dan Kuching City pada 25 Mei lalu.
Separuh akhir Piala FA 2024 bakal menyaksikan Kedah bakal berentap dengan JDT. Sementara satu lagi aksi separuh akhir menemukan Selangor dan Terengganu.