Piala FA: Sabah Mudah Atasi Kelantan United
Piala FA
Sabah FC
Advertisements

Sabah berjaya mara ke suku akhir Piala FA selepas mengalahkan Kelantan United 2-0 dalam perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Likas hari ini. Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan Badak pasti akan meresahkan jurulatih mereka, Datuk Ong Kim Swee.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah tidak menunggu lama membuka jaringan menerusi kapten Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13. Rizal Ghazali yang menerima hantaran Telmo Castanheira membuat satu hantaran yang mudah ditanduk Baddrol menewaskan penjaga gol pelawat, Ilham Amirullah.

Sabah kemudiannya mendapat peluang demi peluang untuk melebarkan kelebihan mereka. Bagaimanapun, ketangkasan Ilham menepis percubaan demi percubaan termasuk sepakan percuma Saddil Ramdani pada minit ke-35 memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Sabah meningkatkan asakan ke atas Kijang Hijau bagi menggandakan kelebihan. Hasilnya, pemain gantian Stuart Wilkin mudah menyempurnakan hantaran Ko Kwang-min dengan satu rembatan leret bagi menjadikan keputusan 2-0 kepada Badak.

Dua minit selepas itu, Kelantan United menghela nafas lega apabila rembatan Saddil Ramdani terkena palang. Melihat keperluan menambah lagi gol, Kim Swee memasukkan bekas pemain Selangor, Amri Yahyah bagi menambah sengat di bahagian serangan.

Advertisements

Di sebalik usaha berterusan tuan rumah memburu gol tambahan ditambah dengan pelawat terpaksa bermain dengan lapan orang akibat kecederaan, keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Sabah bakal bertemu KL City di peringkat suku akhir. Sudah pastinya anak-anak buah Kim Swee mahu membalas dendam kekalahan mereka di tangan City Boys dalam perlawanan Liga Super pada 4 April lalu.

Advertisements

Bagaimanapun, ketumpulan bahagian serangan diketuai Darren Lok perlu diatasi dengan segera oleh Kim Swee lebih-lebih lagi dengan Kelantan lawan mereka seterusnya dalam perlawanan Liga Super pada 19 April.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram