Johor Darul Ta’zim berjaya menewaskan Petaling Jaya City 4-0 pada aksi pertama peringkat 16 pasukan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermula dengan sengit namun JDT mendominasi perlawanan apabila berjaya membuka tirai menerusi sepakan penjuru Arif Aiman ditanduk kencang oleh Shahrul Saad sekaligus menewaskan penjaga gol tuan rumah seawal minit keempat permainan.
Tercabar dengan jaringan awal JDT, skuad kendalian P. Maniam mengatur gerakan balas sekali gus menghasilkan beberapa percubaan yang hampir mengikat pihak lawan pada minit ke-15 permainan bagaimanapun, rembatan Darren Lok sedikit tersasar ke atas gawang.
Pada minit ke-39 permainan, JDT terus mengasak gawang pasukan tuan rumah dan akhirnya Safawi Rashid berjaya mengambil peluang untuk menggandakan gol kedua menerusi sepakan ‘Lob’ daripada hantaran jauh Shahrul Saad.
Babak kedua dilihat kedua-dua pasukan terus memberikan tekanan untuk mencari jaringan masing-masing dengan melakukan serangan bertalu-talu, namun gagal membolosi gawang.
Akhirnya, pertukaran yang dilakukan Hector Bigolio membuahkan hasil apabila pemain sayap lincah, Akhyar Rashid tenang menjaringkan gol ketiga JDT menerusi sepakan kemas sekaligus menundukkan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah.
Selepas gol ketiga itu terhasil pasukan JDT memberi serangan berterusan dan merek dilihat sentiasa dahagakan gol. Pada minit ke-79 Forestieri berjaya menyempurnakan hantaran Arif Aiman untuk gol yang keempat menerusi sepakan gol ’fly tap’ masuk ke dalam gawang PJ City.
Tidak berakhir di sini, PJ City masih berpeluang untuk mengejar pasukan JDT dalam perlawanan timbal balik aksi kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada 31 Oktober ini.